Minggu, 22 April 2012

Sebuah Penguji Kesabaran adalah Anugerah yang Terindah


Kenyataan hidup di dunia yang penuh dengan ujian, musibah dan cabaran sebenarnya menuntut kita semua untuk mempersiapkan diri dengan bekalan yang ampuh iaitu sabar.

Allah SWT telah mengingatkan kita tentang hakikat kehidupan di dunia yang tidak sunyi daripada ujian dan musibah. Saban hari kita juga dihidangkan dengan pelbagai berita musibah dan ujian yang terpaksa dihadapi oleh ramai manusia di sekeliling kita seperti kekecewaan, kehilangan, kemalangan dan kematian orang yang disayangi. Namun di sana ada janji-janji indah untuk mereka yang berjaya menghadapinya dengan bersabar.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 :

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar”.

Jelas sekali, Allah SWT telah menetapkan setiap manusia itu pasti diuji dan tidak ada sesiapa yang dapat lari dari kenyataan hidup ini. Namun di sebalik semua ujian ini masih ada berita gembira buat hamba-hamba Allah yang terpilih, iaitu mereka yang mampu bersabar menghadapi keperitan musibah yang menimpa

Justeru, marilah kita hayati ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w, agar kita sedar betapa besar hikmah bersabar di sebalik musibah yang datang menguji kita. Antaranya ialah :

Pertama : Sesungguhnya sabar menganugerahkan kesejahteraan, rahmat dan hidayah.

Allah SWT menjelaskan kepada kita tentang ujian hidup dan tuntutan bersabar dalam Surah Al-Baqarah ayat 157:

“Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya”.

Kedua : Sesungguhnya sabar di atas musibah menjanjikan penghapusan dosa

Rasulullah s.a.w mengingatkan kita tentang hakikat ujian dan musibah yang melanda hidup kita bahawa ia sebenarnya adalah suatu proses pembersihan dosadosa kita yang disusun indah oleh Allah SWT. Kita perlu menyedari hakikat ini untuk kuat menghadapi segala musibah dengan sabar dan redha.

Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

“Tiada seorang mukmin yang ditimpa musibah, samada kepayahan, penyakit, kebimbangan, kesedihan, kesakitan mahupun dukacita sehingga duri yang dipijaknya melainkan semua itu pasti akan menjadi sebab Allah menghapuskan dosa-dosanya”. (Riwayat Ahmad)

Ketiga : Sesungguhnya ganjaran Pahala tanpa Hisab

Inilah ganjaran hebat yang disediakan bagi orang-orang yang mampu bersabar ketika ditimpa musibah. Firman Allah SWT dalam Surah az-Zumar ayat 10:

“Katakanlah (Wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja Yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.

Keempat : Sesungguhnya orang yang sabar akan mendapat kelayakan untuk tinggal di Syurga

Kenyataan ini dibuktikan oleh Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d ayat 23 – 24 :

“Iaitu syurga yang kekal, yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu, (sambil memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu”.

Ucapan salam sejahtera para malaikat kepada penghuni syurga pada ayat ini jelas menyebut tentang sebab utama yang melayakkan mereka ditempatkan di syurga, iaitu kesabaran mereka di atas segala kepayahan hidup di dunia ini.

Imam Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziah menyatakan bahawa; ”Iman terbahagi kepada 2 bahagian, pertama Syukur di atas nikmat dan yang kedua sabar di atas musibah.”

Ertinya, iman kita belum dikira sempurna melainkan setelah kita mampu mempersembahkan ketaatan dengan beribadah kepada Allah sebagai tanda syukur, juga setelah kita terbukti mampu bersabar di saat kita diuji dan ditimpa musibah. Apa yang dapat kita lihat, memang ramai di kalangan muslimin hari ini yang mampu beribadah dengan taat, solat berjemaah, bersedekah dan sebagainya namun bila Allah mengujinya dengan kemalangan, kematian orang yang tersayang, kegagalan, kejatuhan dan musibah, mereka gagal untuk kekal menjadi hamba-hamba Allah yang sepatutnya redha dan sabar berhadapan dengan ujian-ujian ini.

Inilah kegagalan yang patut kita sedari dan berwaspada terhadapnya. Jangan sampai kita merasa selamat dengan keupayaan kita melakukan ketaatan beribadat, selagi kita belum diuji dan mampu bersabar di atas ujian tersebut. Bukankah di antara rukun Iman yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis percakapan baginda s.a.w dengan Jibril A.S yang menyatakan, “Kamu perlu beriman kepada Ketentuan Takdir Allah; yang baik dan yang buruknya.”

Sebenarnya, Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan kita tindakan yang perlu dilakukan oleh seseorang mukmin bilamana ditimpa musibah. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Ummu Salamah RA, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

“Tiada seorang hamba yang ditimpa musibah lalu dia mengucapkan kalimah “Inalillahiwainnailahirojiun”  berdoa ’Ya Allah ganjarilah aku pada musibah ini dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya’, melainkan pasti Allah SWT memberikan ganjaran di atas musibah yang menimpanya dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik untuknya.”

Kita juga disarankan agar memohon pertolongan daripada Allah untuk terus bersabar dengan bersolat dan berdoa. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w apabila ditimpa kebimbangan dan musibah, baginda akan segera bersolat dan berdoa. Inilah cara yang patut diteladani oleh setiap mukmin bagi membuktikan ketulusan imannya kepada Allah SWT. Berdoa dan memohon daripada Allah yang mentakdirkan musibah dan ujian tersebut adalah tindakan tepat dan laluan sebenar hamba Allah apabila ditimpa ujian. Bahkan ia sejajar dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 45 :

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.

Begitu besar tuntutan supaya bersabar dan hikmahnya bagi kita. Bahkan kita perlu sedar bahawa sikap memberontak, marah-marah dan menyalahkan orang lain tidak akan mampu mengubah takdir atau mengelakkan kita dari ditimpa musibah. Malahan hilangnya kesabaran apabila diuji boleh menyebabkan kita menanggung dua kerugian. Kerugian pertama adalah kerugian akibat musibah yang dihadapi, sama ada kehilangan, kesedihan, kemalangan atau kematian. Manakala kerugian kedua pula adalah gagal meraih peluang mendapat pahala dan rahmat Allah yang datang bersama musibah tersebut. Renungkanlah hakikat ini dan bertindaklah dengan bijak demi kesejahteraan kita di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya, musibah adalah sesuatu ketentuan hidup di dunia yang perlu dilayani dengan bersabar. Sabar pula adalah suatu anugerah terindah Allah buat kita sebagai hamba-hamba-Nya.

Marilah kita renung intisari khutbah Jumaat hari ini, antaranya ialah;

Pertama : Bahawa ujian dan musibah adalah rencah kehidupan, beruntunglah mereka yang berjaya menghadapinya dengan kesabaran.

Kedua : Sesungguhnya kemampuan bersabar dalam menghadapi musibah adalah bukti kesempurnaan iman kita dan bersyukur di atas nikmat kurniaan Allah.

Ketiga : Sesungguhnya sabar adalah anugerah terindah yang menjanjikan pelbagai kurniaan dan ganjaran di sisi Allah SWT khusus bagi mereka yang berjaya menghadapinya.

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. (Al-Mulk : 2)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

=======================

=======================

Share and Sharing :: Mempunyai Artikel Menarik,kisah,cerita lucu,Atau Info Tentang Sekitar Dukuhjati,Kirimkan di kolom bawah ini
Name:
Email :
Alamat
Artikel
Berita/Info

This contact form was created by Freedback.